Negeri Pahang Kaya dengan Destinasi Lawatan yang Menarik.

Negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang Darul Makmur adalah sebuah negeri yang cukup bertuah, kaya dengan kawasan tanah tinggi dengan oksigen menyegarkan, hutan rimba dengan flora dan fauna yang terpelihara, pantai-pantai dengan pemandangan yang mempesona dan banyak lagi. Selain itu, Pahang juga mempunyai tarikan lain seperti kebudayaan dan makanan masyarakat tempatan. Jika anda ingin menghabiskan percutian dengan melancong ke tempat menarik di Pahang, rancanglah dengan teliti. Terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh anda kunjungi dan juga aktiviti pelancongan yang boleh anda lakukan sebagai panduan.

1. Pulau Tioman

Credit : Unsplash

Pulau Tioman adalah destinasi percutian pulau yang telah lama terkenal bukan saja di Malaysia tetapi juga diseluruh dunia. Ia pernah menjadi lokasi filem Hollywood, “South Pacific” sekitar tahun 1959. Pulau Tioman juga pernah dinobatkan sebagai Pulau Tercantik Dunia oleh TIME Magazine sekitar 1970an. Pulau Tioman menjadi tumpuan pelancong dari luar negara terutama dari Eropah. Ini kerana Pulau Tioman terkenal dengan kecantikan semulajadi seperti pantai yang berpasir halus dan bersih, air laut yang jernih dan hutannya yang belum tercemar.

Pulau Tioman terletak disempadan antara negeri Pahang dan negeri Johor. Kedudukannya ialah di Laut China Selatan iaitu kira-kira 56 km  diluar pesisir pantai Pahang. Pengunjung yang ingin ke Pulau Tioman boleh menaiki bot dari Tanjung Gemok di Pahang atau menaiki feri di Jeti Mersing, Johor. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1.5 jam. Pengunjung juga boleh menaiki kapal terbang dengan penerbangan Berjaya Air yang beroperasi setiap hari dari Kuala Lumpur dan Singapura.

Kebanyakkan pengunjung yang datang bercuti di pulau Tioman ialah kerana ingin menikmati keindahan pantai dan air lautnya yang jernih kehijauan. Selain dari berehat di hotel atau resort, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti percutian di Pulau Tioman seperti scuba diving, snorkeling, jungle trekking dan mandi-manda di pantai.

2. Genting Highland

Credit : KualaLumpur.com

Terletak hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur, Genting Highland adalah pusat peranginan dan hiburan yang menjadi kegemaran ramai warga kota setiap kali tiba hari cuti. Apa yang tiada di Genting? Segala keseronokan yang dapat menghilangkan beban fikiran ditawarkan di sini. Dari pengalaman melihat kelip-kelip yang penuh dengan magikal, berseronok menaiki Cable Car menyaksikan keindahan alam yang menghijau, Mencabar diri dengan Sky Vanture, simulator payung terjun pertama di Asia, aktiviti flying fox yang memacu adrenalin sehingga ke tahap maksimum, taman tema indoor dan outdoornya yang sangat menyeronokkan hinggalah kepada pengalaman bershoppingnya. Genting Highland sememangnya terapi untuk sesiapa sahaja yang ingin menghilangkan tekanan dan berseronok bersama keluarga tercinta.

3. Pantai Teluk Cempedak

Credit : Unsplash

Teluk Cempedak Kuantan terkenal dengan pantainya yang cantik. Ramai pelancong yang mengunjungi pantai ini untuk melihat pemandangan di tepi laut, bersiar-siar di tepi pantai yang berpasir putih bersih dan mandi laut. Lebih dikenali dengan panggilan TC, kawasan pantai ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai tidak kira siang dan malam. Pantai ini hanya terletak lebih kurang 5 km dari Bandar Kuantan. Pantai Teluk Cempedak ini sangat meriah kerana ramai yang berkunjung ke sini terutamanya sewaktu musim cuti sekolah. Dan terdapat banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti Jet ski, mandi laut, banana boat, bermain layang-layang,  jungle trekking, berkelah dan bersantai di tepi pantai.

4. Bukit Tinggi, Bentong

Credit : Maisinggah.com

Bukit Tinggi Bentong Pahang ialah tempat peranginan tanah tinggi yang popular di Malaysia. Salah satu tarikan utama tempat ini tentulah suasana sejuk dan udara yang nyaman. Namun ada yang lebih menarik menanti pengunjung di puncak bukit. Ada beberapa tempat menarik di Bukit Tinggi yang unik boleh dikunjungi seperti perkampungan bertemakan Perancis, Japanese Village, mengunjungi tempat menarik, restoran makanan antarabangsa yang menarik dan penginapan yang sangat menarik. Selain itu, pelbagai lokasi menarik untuk bergambar di sini.  Bukit Tinggi terletak dalam daerah Bentong, Pahang. Dari Kuala Lumpur, ambil Lebuhraya Karak ke Kuantan, selepas Kawasan Rehat Genting Sempah akan ada persimpangan ke Bukit Tinggi. Pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti keretapi, bas dan teksi untuk ke sini.

5. Bukit Fraser

Credit : Pinterest

Bagi mereka yang inginkan percutian yang santai dan ingin lari dari kesibukan kota, Bukit Fraser adalah pilihan destinasi percutian yang tepat untuk anda. Bagi mereka yang ingin menghirup udara segar, terasa seperti tinggal di Kampung sendiri, boleh datang ke sini dan rasai pengalaman sendiri. Kepada yang mencintai alam semulajadi pasti mereka akan menghargai pengalaman ketika berada di Bukit Fraser. Terdapat banyak aktiviti yang menarik disediakan untuk para pelancong selain melihat flora dan fauna iaitu aktiviti menunggang kuda dan aktiviti memanah, Allen’s Water untuk bersantai dan rehat minda serta terdapat juga taman permainan kanak-kanak. Selain itu, antara tempat menarik yang ada di Bukit Fraser untuk dilawati ialah Taman Flora Bukit Fraser, The Sport Complex, Kelab Golf Diraja Bukit Fraser, Bird Interpretative Centre Fraser’s Hill dan Air Terjun Jeriau. 

kesimpulannya, terdapat banyak destinasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan jika bercuti di Pahang. Memandangkan sempadan Pahang hanya bersebelahan dengan Selangor, tidak hairanlah setiap hujung minggu ramai warga kota dari KL yang datang bercuti bersama keluarga di Pahang terutamanya di kawasan peranginan seperti Genting Highland, Cameron Highland, Bukit Tinggi dan lain-lain. Semoga dapat memberi inspirasi kepada anda untuk bercuti di negeri yang terkenal dengan jolokan nama Negeri Tok Gajah ini. Selamat cuti-cuti Malaysia di Pahang. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *