“SAMBUTAN HARI RAYA DI PERANTAUAN”

Hari Raya Aidilfitri  merupakan perayaan yang diraikan oleh umat islam di seluruh dunia setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Kebiasaannya, umat islam di Malaysia akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan ini bersama keluarga mereka. Namun, ada juga yang terpaksa menyambut perayaan ini di perantauan atau sememangnya memilih untuk melancong ke luar negara ketika Aidilfitri untuk merasai pengalaman berbeza menyambut hari raya di sana.

Jika di London, Hari Raya Aidilfitri tidak digazetkan sebagai cuti umum namun perayaan ini tetap diraikan dengan meriah oleh masyarakat Islam di sana. Sama seperti di Malaysia, sambutan dimulakan dengan solat hari raya kemudian diikuti dengan aktiviti ziarah-menziarahi atau menjadi tuan rumah kepada keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati makanan tradisional. Yang menariknya sambutan perayaan di Kota London ini, para pelancong boleh menyertai acara sambutan tahunan “Festival Eid” di Dataran Trafalgar, di mana mereka boleh menyaksikan pelbagai persembahan menarik serta menyertai pelbagai aktiviti dan menikmati juadah dari pelbagai negara. 

Manakala di China, wilayah Xinjing dan Ningxia meraikan Hari Raya dengan cuti umum selama sehari. Di wilayah Yunnan pula, ada yang mengembara ke makam Sayyid Ajjal di Wo-erh-to untuk membersihkan makamnya dan membaca ayat suci Al-Quran. Sayyid Ajjal merupakan Gabenor Wilayah pertama pada kurun ke-13 dan seorang ketua muslim yang bijak pandai. Orang Muslim Uighur di Xinjing selalunya menghidangkan sanzi (mi goreng rangup) sebagai hidangan tradisi Hari Raya.

Menariknya sambutan Hari Raya di Afghanistan, rakyat di negara ini menyambut Hari Raya dengan tradisi yang sangat unik iaitu perlawanan telur yang disambut secara besar-besaran, yang dikenali sebagai Tokhm-Jangi, setiap keluarga akan  merebus beratus-ratus telur  dan mengecatnya dengan warna-warna yang ceria. Kemudian, orang ramai akan berkumpul di taman-taman dan kawasan terbuka yang lain untuk memecahkan telur-telur tersebut. Hari Raya disambut selama tiga hari dan mereka membersihkan rumah serta membeli pakaian baru. Apabila waktu malam menjelang, mereka menyalakan unggun api di luar rumah dan berbual-bual. Jelabi (manisan yang digoreng dan dicelup dengan sirap) Shornakhod (kacang kuda dan salad kentang) Sheerpira (fudge susu manis dengan kacang pistachio dan walnut) merupakan juadah yang biasa dihidangkan kepada para tetamu.

Jika anda ke Istanbul, Turki, anda dapat menyaksikan persembahan gendang yang diadakan pada waktu dinihari untuk mengejutkan orang ramai supaya bersahur. Hari raya di turki pula seakan-akan sambutan hari manisan, kerana ia dikenali sebagai Seker Bayram ( manisan Bayram) dan Ramazan Bayram ( Bayram Ramadhan). Bayram adalah istilah yang digunakan untuk cuti umum. Kanak-kanak selalunya akan pergi dari pintu ke pintu untuk meminta manisan seperti Baklava. Jika anda melawat negara ini ketika sambutan Hari Raya, anda akan sentiasa mendengar orang-orang tempatan menyapa satu sama lain dengan “Bayraminiz kutlu olsun” atau “Bayraminiz mübarek olsun”. Kedua-duanya bermaksud “Semoga bayram anda direstui”.

Mengikut adat masyarakat Arab Saudi pula, ahli keluarga akan berkumpul di rumah lelaki yang paling tua dalam keluarga selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Sebelum makan tengah hari, kanak-kanak akan berpakaian baharu dan bertemu dengan ahli keluarga untuk menerima duit raya. Sambutan hari raya diteruskan dengan menonton wayang, menyaksikan persembahan bunga api dan persembahan pentas. Di tengah-t.engah pusat Bandar Balad, para pelancong boleh menyertai sambutan perayaan di “Festival Jeddah Bersejarah” (Historic Jeddah Festival) untuk mengimbau kembali cara sambutan hari raya yang diraikan pada zaman lampau.

 Anda mungkin terbiasa dengan perayaan Hari Raya di Malaysia, tetapi mungkin pengalaman beraya di perantauan ini mesti tidak dapat dilupakan. Daripada pakaian tradisional, adat tempatan hinggalah ke hidangan khusus, setiap negara itu pasti mempunyai keunikannya tersendiri. Walaupun berbeza kaum dan budaya, sambutan perayaan di mana-mana sahaja ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

Artikel ini ditulis oleh Najihah Azli pelajar UITM yang sedang menjalankan latihan industri bersama pasukan Jomventures.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *